
Freddie Joseph
KUALA LUMPUR: Freddie Joseph, kanak-kanak berusia setahun
lapan bulan yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar pada Jumaat,
dijumpai beberapa orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, tengah
hari Sabtu.
Ketika ditemui kira-kira 12.20 tengah hari, dia dalam keadaan keletihan dan kelaparan.
Kanak-kanak itu yang memakai baju berwarna hijau dan seluar putih
telah diselamatkan oleh seorang pemandu lori dan seorang pemandu teksi
yang kebetulan melalui laluan di Taman Tasik Titiwangsa.
Pemandu lori Hamid Md Isa, 57, yang juga pesara Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata beliau melihat kanak-kanak
itu berjalan berseorangan dan kelihatan keletihan.
Beliau kemudian segera mendapatkan kanak-kanak itu dan memimpinnya ke tepi padang untuk berehat.
Pemandu teksi Haris Mohd Nor, 48, pula segera membeli keropok dan minuman untuk kanak-kanak itu apabila melihatnya keletihan.
"Pagi tadi saya membaca akhbar dan ada berita mengenai kanak-kanak
diculik...tapi tak sangka budak inilah yang diculik itu. Semasa saya
mendekatinya, dia diam dan tidak berapa takut tetapi memang nampak dia
lesu sangat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan
Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab yang
kebetulan berada di lokasi sama, telah memaklumkan kepada Meja Berita Am
agensi itu mengenai penemuan anak lelaki guru bahasa warga Britain itu.
Menurutnya ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersenam di taman itu.
"Dan saya lihat sekumpulan orang awam berkumpul bersama seorang
kanak-kanak. Saya dapat merasakan yang dia adalah budak yang diculik
semalam berdasarkan wajahnya yang bukan seperti kanak-kanak tempatan.
"Selepas itu saya terus menelefon wartawan Bernama dan menghantar
gambarnya yang saya ambil menerusi telefon untuk memastikan sama ada dia
budak yang diculik itu," katanya.
Wartawan Bernama kemudian menghantar gambar itu kepada rakan ibu
kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Robert dan beliau mengesahkannya.
Polis yang tiba di Taman Tasik Titiwangsa kemudian membawa Freddie ke Balai Polis Jalan Tun Razak di sini.
Bernama difahamkan ibu kanak-kanak itu Sarah Joseph dalam perjalanan ke balai polis berkenaan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten
Komisioner, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi turut mengesahkan Freddie
berada dalam keadaan selamat ketika ditemui.
Dalam kejadian 6.10 petang Jumaat, kanak-kanak itu dilarikan seorang
lelaki dan seorang wanita dipercayai warga asing menggunakan kereta
Toyota Camry berwarna putih.
Pada masa kejadian, Sarah, 38, masuk sebentar ke dalam rumah selepas
memberi anaknya makan di halaman rumah, sebelum beliau terdengar bunyi
bising di luar rumahnya.
Ketika itu, beliau nampak seorang lelaki cuba melarikan Freddie lalu
menerpa ke arahnya untuk menyelamatkan anaknya sambil menjerit meminta
pertolongan sehingga berlaku pergelutan.
Akibat pergelutan itu, Sarah cedera di pergelangan tangan kanannya.
0 comments:
Post a Comment