TENANG sahaja tutur kata dan wajah Datuk Jeffrydin saat berbicara perihal gelaran Datuk yang diterimanya menjadi topik bualan kalangan pencinta dunia seni tempatan kebelakangan ini.
Masakan tidak, gelaran yang dikurniakan bukan dibeli mahupun diberi oleh Kesultanan Sulu seperti yang didakwa sebaliknya dianugerahkan oleh kerajaan negeri Melaka pada 2009.
Tidak berkecil hati dengan setiap tohmahan yang diterimanya, legenda pop yeh yeh itu hanya menganggapnya sebagai isu remeh yang dicipta oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
"Terserah kepada mereka bagi yang mahu menilai gelaran itu. Saya tak kisah dengan cakap-cakap orang. Buat apa saya perlu kecil hati? Sedangkan sebelum ini lagi besar dugaan yang pernah saya lalui.
"Bagi saya mereka yang mempertikaikan kurniaan gelaran itu kerana ada perasaan iri hati dan dengki dengan apa yang saya perolehi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kali terakhir Jeffrydin menghasilkan album adalah pada 1999 melalui album Jeffrydin '99.
Album Debaran Rindu yang mengandungi enam buah lagu termasuk sebuah lagu Hari Raya diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd dengan sentuhan komposer terkenal, Datuk M. Nasir dan Azmeer.
"Sudah lama saya merancang untuk menghasilkan album buat peminat-peminat. Alhamdulillah akhirnya berjaya dan saya yakin album ini akan mendapat sambutan yang baik. Peluang yang diberikan oleh Datuk M. Nasir ini cukup besar dan saya mahu manfaatkannya sebaik mungkin.
"Ramai lagi penyanyi pop yeh yeh seangkatan dengan saya yang tidak memperolehi peluang sebegini.
"Saya menjadi wakil rakan-rakan saya untuk terus memperjuangkan irama muzik pop yeh yeh ini kerana saya tahu masih ramai lagi yang meminati irama muzik ini di luar sana," jelasnya.
Lebih menarik, dia yang selama ini begitu sinonim dengan irama pop turut melalui dimensi baru sejajar dengan perkembangan seni semasa apabila mempertaruhkan kolaborasi bersama kumpulan hip hop, One Nation Emcee (ONE).
"One Nation Emcees merupakan jenama yang cukup besar. Bagi saya gabungan ini cukup unik. Saya harap melalui kerjasama ini, irama pop yeh yeh tidak tenggelam dan tertinggal dengan arus muzik moden.
"Sebenarnya kami merancang berduet bersama sejak tahun 2008 lagi ketika kumpulan itu masih dalam program realiti GangStarz," ujarnya yang berkolaborasi dengan ONE menerusi lagu Debaran Rindu.
Diedarkan oleh FMC Music bermula esok, album tersebut juga boleh didapati menerusi iTunes.
0 comments:
Post a Comment